Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza.

Serangan Israel yang dilancarkan pagi tadi menyebabkan sehingga kini 16 orang syahid dan 30 lagi cedera. Sehingga kini dilaporkan 9 orang warga Turki dan bakinya adalah dari negara Arab yang terkorban di dalam misi kemanusiaan terbesar ini.

Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla untuk rakyat Gaza ini yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulamak, ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, aktivis, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

Konvoi ini juga diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Selain itu, terdapat lebih daripada 50 buah negara menyertai konvoi terbesar ini. Bahkan, tiada sebarang bentuk persenjataan dibawa oleh sukarelawan konvoi walaupun tujuan untuk mempertahankan diri.

PMRAM mendesak dan menggesa Kerajaan Malaysia, anggota PBB, OIC, pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak bangkit mengutuk tindakan kejam Zionis Israel dan menuntut agar misi kemanusiaan terbesar ini dibenarkan masuk serta dapat menghantar bantuan ke bumi Palestin Gaza.

PMRAM juga menyeru kepada semua ahli PMRAM dan mahasiswa Islam di bumi Mesir agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan aktivis konvoi dan rakyat Palestin.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

p/s : Moga peperiksaan di Al Azhar tidak menghalang kerja-kerja dakwah diteruskan. Suara Mahasiswa bukan hanya bermusim. Ya Allah, bantulah mereka...

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Monday, May 31, 2010 0 comments


" Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!".

Ungkapan ini pernah dilaung-laungkan pada zaman 1960an dahulu. Ungkapan ini juga membuktikan mahasiswa pada zaman tersebut cukup berperanan dalam mengubah sosiopolitik setempat. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa mahasiswa mempunyai kepentingan mereka dalam menjadi agen perubah. Pepatah arab ada menyatakan " Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan". Saya suka untuk mengungkapkan pemuda dengan kalimah mahasiswa

Islam dan Mahasiswa
Islam meletakkan pemuda di tempat yang tinggi. Barisan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan. Malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al-Kahfi:13)

Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda. Ini disebabkan pemuda bakal berhadapan dengan kewajipan yang maha banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda, malah di zaman muda ini jugalah amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka itu akan menjadi bertambah berat.

Jika disingkap kembali sejarah, Rasulullah saw dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah. Bahkan Baginda saw juga adalah pemuda yang memimpin perubahan. Mereka sanggup menyingsing lengan dan berhadapan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi Muhammad saw telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah. Diantaranya Mus`ab bin `Umair, Talhah bin `Ubaidillah, Zubair bin Al Awwam, Saidina Abu Bakar, Uthman bin `Affan dan Arqam bin Abi Arqam. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat kental oleh baginda saw.

Diantara nikmat yang perlu dijaga sebagaimana yang disebutkan oleh baginda saw di dalam hadith adalah nikmat muda. Sabda nabi saw yang bermaksud :
Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi). Pemuda juga adalah golongan yang sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad saw.

Kebangkitan Mahasiwa seluruh dunia.

Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda. Mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, dan idealisma untuk merubah dan menjadi agen perubah. Jose Rizal lewat karyanya `Noli Me Tangere` (1887) menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis. Di Cina, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Cen Tu Shiu menjadi penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919. Ia berjaya meledakkan kebangkitan komunsime sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949. Begitu juga di Rusia, anak-anak muda kampus melakar sejarah apabila menggerakkan Revolusi Bolshevik 1917 kesan dipengaruhi doktrin komunis.

Negara jiran Malaysia, iaitu Indonesia turut tidak ketinggalan. Anak-anak muda melatari perjuangan menentang penjajah Belanda. Diketuai oleh Raden Ajeng /Adjeng Kartini dengan gerakan sosialnya, malahan beliau meninggal dunia pada umur yang sangat muda.

Siapa yang tidak mengenali, Soekarno merupakan pemimpin mahasiswa dinamis keluaran Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji `sang saka Merah putih` seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Satu lagi gerakan yang dominasi di Indonesia ialah angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.

Di Mesir, tokoh seperti Syeikh Muhammad Abduh yang berlatarkan Universiti Al Azhar mengembangkan idea `Pan Islamisme` berhadapan dengan pemecatan beliau dari Universiti tersebut akibat aura Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir. Hassan Al Banna (1906-1949) juga masih muda ketika menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah pada 1928 sehingga ianya sangat fenomenal pada abad ke 20. Pada tahun 1933, pusat gerakan IM dipindahkan ke Kaherah untuk menyebarkan pengaruh kepada seluruh mahasiswa seluruh dunia yang menuntut di Al Azhar. Ternyata ianya berhasil apabila fikrah Ikhwan dan idea perjuangan mereka dibawa ke negara masing-masing.

Bumi bertuah Malaysia turut melalui zaman kegemilangan tersebut. Lepasan Al Azhar yang pulang ke tanah air menjadi nadi utama dalam membebaskan Tanah Melayu pada ketika itu dari penjajah. Syed Syeikh Al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Kali diantara yang mempelopori gerakan pada masa itu. Dr Burhanuddin Al Helmi turut mewarnai politik Malaysia apabila melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan Tanah melayu. Kepulangan beliau dari India membawa bersama idealisme tokoh-tokoh nasionalis di sana. Kritikan bernas beliau terhadap Inggeris menerusi akhbar Taman Bahagia menyebabkan belia dipenjara pada tahun 1937.

Di beberapa negara lain seperti Thailand, Burma, Afghanistan dan Algeria, masing-masing menyaksikan peranan mahasiswa yang cukup besar dalam membentuk sosio politik sesebuah negara. Apabila ada pihak yang cuba menafikan peranan mahasiswa, barangkali mereka ini buta sejarah.

Akan bersambung....

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Sunday, May 30, 2010 0 comments

Memahami Gerak Kerja hisbah
( Ringkasan daripada Kajian MANHAL PMRAM berkaitan Hisbah )

TAKRIF HISBAH
HISBAH ialah `Menegakkan yang ma'ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula'.

Ini membawa maksud bahawa sekiranya ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan keterangan.

WAJIBNYA HISBAH

Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka menyangka tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Mereka menyangka kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan ibadat-ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya sahaja dan kesalahan serta keburukan orang lain tidak menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkannya.

Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan arahan Allah dan melaksanakannya merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Maka bersandarkan kepada nas-nas di atas, para ulama' berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah sesuatu yang fardhu. Antara mereka ialah ada yang menyatakan bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan dua fardhu dari fardhu-fardhu Allah manakala Abu Bakar al Jassas berpendapat Allah memperkuatkan kefarduannya dalam beberapa ayat manakala Rasul-Nya pula menjelas melalui hadith-hadith yang mutawatir darinya. Oleh itu dalil wajibnya melaksanakan hisbah bersandarkan kepada :

• Arahan Allah dan Rasul-Nya
• Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan
• Antara yang menjadi syarat kepada bai'ah ialah memberi nasihat sesama muslim
• Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah
• Meninggalkan tanggungjawab hisbah dianggap bersekutu dalam melakukan kemungkaran dan dosa bersama-sama pelakunya
• Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah
• Turunnya azab Allah diakibatkan kerana meninggalkan hisbah.

STATUS KEFARDHUAN HISBAH

Para Ulama' berselisih pendapat dalam menentukan status kefarduannya sama ada fardhu `ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu `Ain. Antara suasana-suasana tersebut ialah :

• Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa
• Apabila tidak kedapatan orang lain yang mengetahui dan memahami kewajipan hisbah kecuali dirinya sahaja
• Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa orang sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu `ain ke atas mereka
• Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da'ie berkurangan ditambah pula dengan bertambahnya kemungkaran serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu `ain.

AMAR MA'RUF

• Hak-hak Allah
Wajib ke atas al-Muhtasib melaksanakan tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar apabila berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan hak Allah seperti sembahyang Juma'at sembahyang jamaah di masjid dan lain-lain yang secara terbuka ditinggalkan.

• Hak-hak Anak Adam
Ianya terbahagi kepada dua:
1. Hak Am
Merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan keperluan manusia seperti bekalan air minuman di dalam sesebuah negeri atau kemudahan-kemudahan awam yang asasi. Perkara ini bergantung kepada kedudukan kewangan negeri atau baitulmal dan pihak kerajaan bertanggungjawab supaya memperbaiki keadaan tersebut. kalau tidak ada harta baitulmal, hendaklah diarahkan orang-orang Islam yang kaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

2. Hak Khas
Ianya mencakupi hak-hak yang berkaitan dengan individu-individu seperti hutang piutang dan lain-lain hak. Dalam keadaan ini, muhtasib hendaklah mengarahkan kepada orang-orang yang berhutang supaya membayar hutang-hutang mereka dengan syarat ada pengaduan dan jika mempunyai keupayaan.

3. Hak bersama
Ianya mencakupi antara lainnya perkara-perkara berikut:-
• Mengarahkan para bapa mengahwinkan anak-anak perempuan mereka apabila menepati syarat-syarat agar mereka tidak terhalang daripada berkahwin
• Mewajibkan para wanita mematuhi idah mereka sama ada idah wafat atau idah talaq
• Mengarahkan pemilik-pemilik pengangkutan supaya tidak memuat secara berlebihan ke atas kenderaan mereka
• Mengambil kecaknaan terhadap luqatah seperti kehilangan barangan dan sebagainya

NAHI MUNGKAR

• Hak-hak Allah
Antaranya:
1. Berkaitan dengan `ibadah yang mengandungi perkara-perkara berikut:
• Orang melakukan `ibadah tidak mengikut syari`at Islam
• Orang yang tidak mengambil berat terhadap kesihatan tubuh badan pakaian dan tempat sembahyang
• Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa ada keuzuran syar'ie
• Orang yang tidak membayar zakat harta-harta batin
• Orang yang mengajar dan memberi fatwa tanpa ada ilmu
2. Berkaitan dengan larangan-larangan syara'
• Hendaklah mencegah orang ramai dari berada ditempat-tempat yang meragukan dan yang boleh mendatangkan tohmahan serta tuduhan orang seperti wujudnya percampuran kaum lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat-tempat yang diragui.

3. Berkaitan dengan mu'amalah
• Hal ini mengandungi mu'amalah-mu'a malah yang mungkar dari sudut syara' seperti jual beli yang tidak sah dan apa-apa urusan jual beli yang dilarang oleh syara' walaupun di kalangan mereka saling redha menredhai seperti penipuan harga, timbangan dan sukatan.
• Hak-hak Anak Adam
1. Hak jiran
Hal ini mengandungi pencerobohan seseorang terhadap sempadan jirannya. Walaupun begitu, muhtasib tidak boleh mengambil tindakan selagi tidak ada aduan dari jirannya.

2. Di pusat-pusat perniagaan dan di kilang-kilang; ada tiga keadaan yang perlu diambil perhatian:
• Kesempurnaan dan kekurangan, contoh kerja-kerja perubatan yang dilakukan oleh para doktor
• Amanah dan khianat; contohnya amalan tukang-tukang jahit yang tidak menepati janji
• Elok dan tidak elok dalam apa-apa kerja yang dilakukan
• Hak-hak bersama
Antaranya ialah pencegahan perbuatan mengintai rumah orang lain, mencegah imam-imam masjid besar daripada memanjangkan sembahyang dan mencegah para hakim daripada tidak melayani orang-orang yang berbalah, mencegah pemilik alat-alat pengangkutan dari mengangkut lebih dari had muatan dan lain-lain lagi. Muhtasib hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh pihak berkuasa selain dari perkara-perkara yang disebutkan di atas.

PENUTUP
Semoga dengan penerangan ringkas ini memberi kefahaman kepada semua untuk menggerakkan hisbah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kitab Al Ahkam As Sultaniah oleh Imam Mawardi atau Abu Ya`la.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Thursday, May 6, 2010 0 comments

Bismillahirrahmanirrahim,

Pada Muktamar PMRAM kali ke 77 yang lalu, satu tanggungjawab berat telah digalaskan di bawah Lajnah & Unit Dakwah dan Pembangunan Insan. Sidang Muktamar telah bersepakat untuk menjayakan usul yang berbunyi :

Menggempur gerak kerja Hisbah dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan mahasiswa/wi di Mesir melalui tindakan berikut :-
1) Menggesa pihak berwajib terutamanya JPMK dan KBMK untuk bertindak dengan lebih serius.
2) Mewajibkan skuad penguatkuasa hisbah di setiap peringkat PMRAM pusat dan cawangan.”.

Usul tersebut telah dibawa oleh Saudara Shahrizan Mohd Hazime selaku Presiden PMRAM 2010.

Allah ta`ala berfirman yang bermaksud:

Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) – Ali Imran 110.

Dr Yusuf Al Qardhawi menyebutkan di dalam kitabnya Fiqhul Aulawiyat, di antara perkara yang menjadi prioriti setiap mukmin adalah menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Tanggungjawab amal makruf nahi mungkar bukanlah dipundakkan ke atas sesetengah pihak sahaja atau unit tertentu, bahkan ianya merupakan amanah yang wajib dijalankan bersama oleh semua umat Islam lebih-lebih lagi penuntut ilmu agama.

PMRAM dengan kesedaran yang tinggi telah menjalankan aktiviti amal makruf nahi mungkar sejak sekian lama melalui platform Unit Hisbah dan Biah Solehah. Bertindaklah dengan kefahaman dan ilmu melalui pendekatan “Pendakwah bukannya penghukum”. Selayaknya, seorang yang bergelar Azhari membenci bahkan bertindak mencegah perkara yang melanggar batas syarak.

Justeru, di bawah seliaan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan saya menyeru buat semua warga Malaysia di Mesir tanpa mengira bidang pengajian, termasuk pihak yang berwajib, marilah bersama-sama kita menjayakan usul ini seterusnya menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Bersama tingkatkan kesedaran terhadap permasalahan yang berlaku disekitar kita supaya kita tergolong dalam kalangan mereka yang menuntut ilmu dan beramal dengan ilmunya. Sekian.

AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKSIAH
Mohd Adlan Mokhtaruddin,
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2010.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

Subscribe here

MASA KITA

About Me

My photo
Nama diberi Mohd Adlan Mokhtaruddin, Dilahirkan pada 9 April 1986.Berasal dari Wilayah Kuala Lumpur dan menetap di Lot 4201 Kg Baru Sg Buloh Selangor.Merupakan anak ke sepuluh dari 12 orang adik-beradik. Pengajian kini di Jabatan Hadith Fakulti Usuluddin Kaherah Mesir.

BERSAMA MENJAYAKANNYA!!

SUMBER INSPIRASI

SUMBER INSPIRASI

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KENANGAN TERMANIS

KENANGAN TERMANIS