KAHERAH,26 Ogos -  “Memperkasa Generasi Ulama’” tema yang dilaungkan bagi melahirkan generasi pelapis yang benar-benar memahami Islam, melalui program Kolokium Ilmuan PMRAM di bawah Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM.

Program diadakan di Rumah Selangor bagi akhawat, dan Rumah Terengganu bagi ikhwah. Kali ini, semua peserta dari seluruh cawangan dikumpulkan dalam satu program bagi melengkapkan siri-siri yang lepas.

Kehadiran peserta mencecah seramai 300 orang melibatkan peserta dari Pengajian Islam, Perubatan dan Bu’uth. Program yang berlagu temakan “Satu Hati” itu bermula pada jam 10.00 pagi, dengan ucapan aluan dari Pengarah Q, Saudara Mohd Hakim dan Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM, Saudara Mohd Adlan Mokhtaruddin. Rumah Terengganu menjadi dewan utama program Q Graduasi ini, dan pancaran melalui layar bagi peserta akhawat di Rumah Selangor.

Kitab “Maza Yakni Intimae Lil Islam”,karangan Dr Fathi Yakan, bahagian dua didiskusikan oleh ahli panel yang tidak asing lagi, Saudara Mohd Azrul Ismail.

Beliau turut memberikan kefahaman yang lebih jelas lagi kepada peserta dalam sesi soal jawab, tentang kepentingan menjadikan Muzakarah Berkelompok sebagai medan At-Takwin, bukan medan At-Ta’rif. “ Muzakarah Berkelompok adalah medan untuk membentuk dan mengadun fikrah yang di bawa oleh Islam, bukan sebagai medan bertalaqi, justeru, setiap ahli perlu berusaha untuk menjadikan usrah mereka berkualiti dan menarik,” ujarnya menjawab soalan-soalan yang diajukan.

Wacana Fenomena Ta’adud Jemaah pula menampilkan gandingan mantap, Saudara Muhammad Mujahid Mohammad Fadzil dan Saudara Mohd Fairus Shuaib, yang telah dipengerusikan oleh Saudara Mohd Ridhuan.

Celoteh pengerusi dan ahli panel berjaya menarik perhatian seluruh peserta untuk mendengar pengisian yang diberikan. Sesi soal jawab mendapat sambutan yang hangat, walaupun masa yang diberikan telah berakhir.

Para peserta mengajukan pelbagai soalan bagi memahami dengan lebih jelas lagi konsep Ta’adud Jemaah yang dianjurkan Islam. “ Walaupun ada pendapat ulama yang mengharuskan ta’adud, namun di situ, banyak syarat yang ketat yang diberikan. Jadi kita harus memahami konsep sebenar bagi memastikan kelangsungan gerakan Islam,” ujar ahli panel.

Peserta juga sempat bermesra dengan pimpinan PMRAM, di dalam slot bersama BP dan HEWI. Majlis penutupan Kolokium Ilmuan 2010 disempurnakan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhammad Zuhaili Saiman.

Beliau turut menyebut di dalam ucapannya, mengenai statistik gejala sosial yang berlaku di Malaysia dan mengingatkan tentang peranan kita selaku pelajar yang belajar di bumi Mesir ini. Saudara Mohd Helmi, selaku Pengarah Induk Q juga turut memberikan ucapan.

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian sijil kepada wakil pelajar dari seluruh cawangan.

Peserta Terbaik Keseluruhan Q bagi ikhwah disandang oleh Saudara Mohd Ulwan, dari Terengganu, dan bahagian akhawat pula adalah Saudari Mardhiyah Nordin juga dari Terengganu. Bacaan Resolusi dan Ikrar diketuai oleh Saudara Mohd Ulwan sendiri.

Program berakhir sekitar waktu Maghrib, dengan solat Maghrib berjemaah.Semua peserta membuka puasa bersama-sama sebelum pulang ke destinasi masing-masing. Semoga graduan Q ini bakal menggantikan ulama-ulama yang akan datang.

sumber : pmram.org

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Sunday, August 29, 2010 1 comments

                 Sepertimana yang dirancang, esok akan bermula Ihya` Ramadhan peringkat PMRAM di dataran `Asyir. Secara tidak rasminya, Sambutan Ihya` ini telah dijalankan melalui BKAN dan DPM. Beberapa penyelarasan dibuat dan dijayakan disetiap peringkat. Pihak PMRAM akan bertindak untuk menutup Sambutan ini secara bersepadu berdasarkan hubungjalin kerjasama seluruh cawangan. Moga-moga Sambutan ini dimudahkan dan diperkenankan oleh Allah untuk mengejar ganjaran yang berlipat ganda di bulan mulia ini. Sama-sama meriahkan Solat Tarawih di dataran.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 1 comments

Pada (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam. Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.

Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.


Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):
(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”
Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

 "اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"
“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”
Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.


Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

: يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون


“Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”
Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:

يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.

*Penulis merupakan Penasihat PMRAM, Saudara Khairul Anuar Ismail (ibnubarqi.blogspot.com)

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

Berikut adalah beberapa program terdekat anjuran Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan secara langsung dan secara tidak langsung. Bersama jayakannya..


Program ihya` tarbawi Ramadhan (IHTIRAM 1431) yang akan dijalankan di Dataran `Asyir bermula 20 Ramadhan hingga 25 Ramadhan kecuali hari Jumaat. Beberapa pengisian dicadangkan iaitu Solat Tarawih berjemaah dan Tazkirah pendek, diakhirnya ceramah dari Masyaikh Al Azhar, Qiamullai Perdana dan Kulaih Subuh. Maklumat berkaitan program akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sepertimana tahun sebelumnya, Solat Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan pada 1 Syawal 1431 di Masjid Musa An Nusair Haiyyu Sabi`. Dijemput semua yang ada untuk hadir.


p/s : Zakat Fitrah pada tahun ini bernilai LE 10. Bayaran boleh dibuat melalui Bendahari Cawangan masing-masing atau pun terus sahaja di pejabat PMRAM.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Friday, August 27, 2010 0 comments

      Tertarik dengan artikel ini, sengaja saya post kan disini untuk tatapan kalian.  Barangkali ramai yang telah melaluinya...

Pimpinan kita penipu! Inilah yang dapat disimpulkan dengan mudah. Mereka adalah penipu besar, hidup dalam penuh kepura-puraan dan bersikap dengan 'talam dua muka'. Saya akan bongkarkan beberapa penipuan yang telah dilakukan oleh pimpinan pelajar di sini satu demi satu.

Penipuan pertama adalah berkait dengan hal kewangan. Kita semua tahu bahawa hal yang berkait dengan kewangan adalah agak sensitif. Pimpinan kita sering berbohong dan menipu pada saat ditanyakan hal berkaitan dengan kewangan mereka, dengan tenang menjawab "Alhamdulillah, kewangan saya masih stabil. Rezeki Allah ada di mana-mana". Itu yang mereka nyatakan. Sedarlah, kita sebenarnya ditipu oleh mereka. Hidup seharian mereka dengan kesempitan kewangan, mereka bertugas memimpin dan menyelesaikan urusan kita tanpa meminta walau satu sen gaji daripada kita. Ke sana ke mari menggunakan wang saku sendiri, urusan di sana sini mendahulukan duit poket sendiri, jika ada peruntukan boleh di'claim' kembali dan jika tiada dihalalkan sahaja. Kita tahu pimpinan kita bukan daripada kalangan kaya raya dan golongan yang hidup mewah, malahan ada yang latar belakang keluarga mereka lebih susah daripada kita, hanya cukup-cukup makan. Mereka terus menipu dengan mengaku mereka punya wang yang cukup, padahal kewangan mereka cukup menyesakkan. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan kedua adalah berkenaan soal perasaan dan jiwa. Jika ditanya, adakah mereka gembira dan tenang dengan kehidupan seharian mereka sebagai pimpinan? Jawapan mereka dengan senyuman tenang tanpa sedikit pun menunjukkan rasa gusar di hati mereka. Pada hakikatnya, perasaan mereka sangat sedih, gundah dan tidak tenang dengan banyak urusan yang perlu diselesaikan dan pelbagai masalah yang perlu difikirkan. Itu belum bicara soal pelajaran mereka kerana mereka juga penuntut seperti kita, mengorbankan sebahagian masa demi tugas yang dipundakkan ke bahu mereka. Mereka menipu jika terus menyatakan mereka gembira, tenang dan senang. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan ketiga adalah berkait dengan tugasan dan kerja mereka. Kita bertanya, bolehkan sama-sama membantu dalam menyiapkan kerja dan tugasan? Mereka menjawab dengan mudah iaitu 'terima kasih kerana mahu membantu'. Sebenarnya mereka punya banyak tugasan dan kerja yang perlu diselesaikan. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan sedang pada masa yang sama pelajaran dan tugas mereka perlu diseiringkan. Mereka cuma bimbang dan takut akan dipersoal oleh Allah jika amanah yang mereka tanggung dilaksanakan oleh orang lain. Oleh sebab itu mereka dengan tenang menjawab 'terima kasih kerana mahu membantu'. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dibuat. Pimpinan kita Penipu!

Kita tahu dan kita kenal siapa pimpinan kita, mereka adalah PENIPU dan PEMBOHONG demi kita. Demi amanah terhadap tugasan dan demi menjaga kebajikan setiap ahlinya.

p/s : "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya.." Ya Allah, bantulah kami dan berkatilah usaha-usaha kami..
sumber : http://zulikhwanzahari.blogspot.com/

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

SIRI AKHIR DAN GRADUASI
Menghimpunkan kembali seluruh Mahasiswa/wi sesi 2009. Bersama jayakannya.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Monday, August 16, 2010 0 comments

         Segala syukur dipanjatkan kepada Allah, memberi izin kepada kita untuk menempuh Ramadhan pada kali ini, Doa yang diajarkan oleh Baginda kepada kita telahpun Allah perkenankan " Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan". Allahumma amin. 30 hari yang bakal kita lalui, menjanjikan ganjaran yang pelbagai dan berganda-ganda. Amat malang bagi sesiapa yang gagal merebutnya.
Peranan Madarasah Ramadhan
Saya ingin berkongsi, beberapa hikmah Ramadhan yang disebutkan oleh Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya " Al `Ibadah fil Islam". Diantaranya ialah :

1. Bulan menambah kekuatan rohani
     Sebelas bulan lamanya kita bergelumang dengan kehidupan yang penuh ujian sebelum memasuki Madrasah Ramadhan. Kita diuji dengan perkara kebaikan, juga dicabar dengan mehnah kejahatan dan iblis. Dalam Ramadhan, kejahatan iblis telah dihilangkan. Ini membuka peluang kepada kita untuk membaiki rohani seterusnya menambah kekuatan roh.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Thursday, August 12, 2010 1 comments

Assalamualaikum wbt
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi Muhammad saw yang tercinta, ahli keluarga, dan para sahabat yang diredhai.
Firman Allah ta`ala yang bermaksud:
'Difardhukan ke atas kamu puasa sepertimana difardhukan ke atas orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa."

        Setelah setahun menanti, Ramadhan Al Munthazar kini bakal menjelma. Bulan yang disifatkan oleh Al Quran dan Hadith dengan kelebihan yang pelbagai. Firman Allah :  Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi  petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan perbezaan yang benar dengan yang salah. Sabda nabi saw : barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu." Kedatangan bulan Tarbiyyah ini perlu diisi dengan sebaiknya, bahkan digandakan berbanding bulan - bulan yang lain.

Bulan Tarbiyyah
Apabila menghayati intipati pengisian Ramadhan, kita akan mendapati bahawa Ramadhan merupakan bulan Tarbiyyah. Allah kurniakan buat umat Islam bulan ini untuk mereka merebut JUALAN MEGA yang dijanjikan sendiri oleh Allah ta`ala sepertimana hadith qudis yang bermaksud : Ganjaran puasa itu aku yang berhak untuk memberikannya.'.Tarbiyyah ini merangkumi Rohani, Jasmani dan Mental. Maka dengan kedatangan Ramadhan, ketiga-tiga unsur ini perlu dididik sebaiknya. Penghayatan yang tinggi terhadap bulan ini tidak akan hanya melihat Ramadhan semata-mata menahan lapar dan dahaga.

Jika hendak disebutkan satu persatu ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sepanjang Ramadhan, pasti tidak akan habis. Akan tetapi Islam mengajar kita untuk membuat sesuatu amalan berdasarkan kemampuan tanpa menafikan sifat untuk sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Kedua-duanya merupakan sunnah. Hayatilah dan maknakanlah Ramadhan pada kali ini dengan sebaiknya.

Persiapan Ramadhan
Sejarah memaparkan, Nabi Muhammad saw telah melakukan `latih tubi` untuk menyambut Ramadhan bermula dari Rejab dan Sya`ban. Ini membuktikan bahawa kedatangan Ramadhan bukanlah suatu bulan yang biasa hingga memerlukan persediaan yang awal. Apabila menjelmanya Ramadhan, bacaan Al Quran, qiamullail, dan berpuasa telah menjadi satu kebiasaan. Sabda Nabi : “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan,bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat,menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan Dia membangga-banggakanmu kepada malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Karena orang-orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.

Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh ahli, marilah bersama-sama kita merebut fadhilat sepanjang Ramadhan ini, dengan mengharapkan Ramadhan tahun ini lebih baik dari yang lepas. Disamping tidak mengabaikan amanah dan gerak kerja Islam yang menjadi kewajipan setiap umat Islam. Gerak kerja dakwah tidak pernah berhenti bahkan perlu sentiasa diperkasa. Kata Dr Qardhawi " Kerja masyarakat yang bermanfaat turut dikira ibadah jika sempurna niatnya". Moga-moga kita digolongkan bersama mereka yang bertaqwa.

Salam Ramadhan Al Mubarak
Lajnah ( Unit) Dakwah dan Pembangunan Insan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Tuesday, August 10, 2010 0 comments

1. Dari Abu Hurairah r.a berkata :
“Rasulullah saw biasanya memberi kabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat, juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (H.R. Ahmad dan An Nasa’i).

2. Dari Ubadah bin Ash Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda:
 “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, mengahapus dosa-dosa dan mengkabulkan do’a. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan Dia membangga-banggakanmu kepada malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang-orang yang sengsara ialah yang
tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (H.R. Ath Thabrani, dan periwayatnya tsiqah).

3. Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
 “Umatku pada bulan Ramadhan diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya, iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada aroma kasturi, para malaikat memohonkan ampunan bagi mereka sampai mereka berbuka, Allah Azza Wajalla setiap hari menghiasai syurganya lalu berfirman (kepada syurga): “hampir tiba saatnya para hambaku yang soleh dibebaskan dari beban dan derita serta mereka menuju kepadamu.” Pada bulan ini para jin yang jahat diikat sehingga mereka tidak bebas bergerak seperti pada bulan lainnya, dan diberikan kepada umatku ampunan pada akhir malam.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah apakah malam itu lailatul Qadar? Jawab baginda: “Tidak. Namun orang yang beramal tentu diberi balasannya jika menyelesaikan amalnya. (HR. Ahmad)

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

Subscribe here

MASA KITA

About Me

My photo
Nama diberi Mohd Adlan Mokhtaruddin, Dilahirkan pada 9 April 1986.Berasal dari Wilayah Kuala Lumpur dan menetap di Lot 4201 Kg Baru Sg Buloh Selangor.Merupakan anak ke sepuluh dari 12 orang adik-beradik. Pengajian kini di Jabatan Hadith Fakulti Usuluddin Kaherah Mesir.

BERSAMA MENJAYAKANNYA!!

SUMBER INSPIRASI

SUMBER INSPIRASI

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KENANGAN TERMANIS

KENANGAN TERMANIS