10 Kriteria Sohwah Islamiah ( Kesedaran Islam )

Dalam artikel yang lalu, kita membicarakan berkenaan perbezaan antara kesedaran dan gerakan. Pada kali ini, kita akan sama-sama melihat beberapa kriteria kesedaran Mahasiswa Islam. Dalam mendepani dakwah, kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan cakna terhadap persekitaran dan mad`u. Berikut dinyatakan beberapa kriteria Kesedaran Islam sebagai panduan kita memahami dakwah. Bersama kita hayati dan fahami.

Kriteria yang pertama : Ikhlas dan Benar terhadap Allah

Niat sebagai penentu dalam setiap amalan dan perbuatan. Apabila niat rosak, maka ia turut akan merosakkan amalan. Inilah yang membezakan kita dengan orang kafir.
Sabda nabi saw : Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.
Apabila jiwa sedang bangkit, kita juga akan berhadapan dengan beberapa masalah sekiranya kesedaran itu tidak didasari dengan kefahaman yang jelas. Terdapat beberapa perkara yang ditakuti terhadap pemuda yang jiwanya sedang bangkit :

- Cintakan jawatan dan kedudukan.
- Suka memberontak, menunjuk-nunjuk dan menzahirkan perbuatan pada orang ramai.
- Amal tanpa niat dan tujuan, suka dipuji dan dipuja.

Justeru, ikhlas dalam setiap amalan sangat perlu. Sentiasalah memperbaharui niat dalam apa jua keadaan. Bukan bermakna jika kita rasa tidak ikhlas maka terus ditinggalkan pekerjaan tersebut. Bak kata Ulama`, permulaan ikhlas adalah riak. Sekiranya kita tinggalkan pekerjaan kerana khuatir dilihat oleh manusia, Itu juga merupakan riak.

Kriteria yang kedua : Mengutamakan ilmu syarak dan menghidupkan roh ilmu dalam jiwa mahasiswa.

Ilmu sebelum amal adalah perlu kerana ilmu yang akan memandu kita. Segelintir pendakwah yang mudah menghukum terhadap mad`u berpunca daripada tidak ada ilmu dan seni dalam berdakwah. Begitu juga dengan kesedaran, apabila kita memahami ilmu dan tuntutannya, sudah tentu mahasiswa Islam akan berada di posisi masing-masing untuk menyedarkan umat.

Selain memahami Al Quran dan Hadith dengan baik, menjadi kewajipan kita kini, untuk menguasai feqh dakwah disamping feqh lima yang menjadi asas. ( Feqh Nusus, Aulawiyat, Muwazanat, Taghyir, Waqi` ). Roh ilmu bererti menjiwai dan menterjemah dalam kehidupan. Sebagaimana kata-kata Imam Al Ghazali ketika mana menyifatkan ilmu Tasawuf : “Menuntut ilmu sangat mudah bagiku tetapi tidak beramal, ilmu tasawuf bukanlah semata-mata ilmu dan amal, akan tetapi ilmu tasawuf adalah bertitik tolak dari jiwanya yang sentiasa merasai dan pengalaman diri”. Begitu juga dengan dakwah, menjiwai roh gerakan dakwah bererti kita terjun ke lapangannya.

Kriteria yang ketiga : Mengelakkan khilaf dan perpecahan serta jauh dari kebencian dan permusuhan.

Realiti hari ini menyaksikan umat Islam semakin berpecah. Benarlah sepertimana kata seorang penyair dalam menyifatkan realiti ini :

“ Aku meronda keseluruh pelusuk bumi
Telah aku kelilingi bumi Allah ini Timur dan Barat
Tidak aku lihat agama seperti Islam yang membawa kesatuan
Akan tetapi tidak seperti ahlinya yang teruk berpecah ”

Mengutamakan perkara usul akan menyebabkan perkara cabang dianggap remeh. Walaubagaimanapun, rapuhnya timbangan umat pada hari ini menjadikan perkara yang sepatutnya kecil bertukar posisi. Justeru, perbalahan dalam perkara sampingan, perlu dielakkan dan sikap sentiasa berlapang dada sentiasa dipraktikkan.

Kriteria yang keempat : Bekerja dengan perkara yang menjadi kesepakatan semua.

Apabila bergerak dalam satu komuniti, pastinya latar belakang setiap orang berbeza-beza. Pendapat, idea, kecenderungan dan cara bekerja adalah pelbagai. Inilah yang dinamakan bekerja secara kolektif. Meraikan pendapat orang lain disamping berhujah dengan pendapat sendiri adalah satu disiplin yang sangat cantik. Diakhirnya, apabila keputusan dibuat diakhirnya, masing-masing beriltizam untuk melaksanakannya sekalipun pada awalnya terdapat perbezaan. Akan tetapi, sebagai bukti tarbiah berkesan kesatuan diutamakan.

Kriteria yang kelima : 4 perkara untuk mencapai kesedaran ini:

- Menegakkan hukum Allah di bumi
- Menyatukan umat Islam
- Berjihad di jalan Allah
- Mendidik manusia mempelajari Al Quran dan Sunnah

Kriteria yang keenam : Menggunakan wasilah yang pelbagai untuk membangkitkan kesedaran dalam menyampaikan dakwah kepada manusia melalui :

- Khutbah
- Peringatan
- Perbualan
- Dakwah individu
- Pengajian ilmu
- Kepakaran dalam satu bidang
- Penulisan
- Lain-lain yang difikirkan perlu

Kriteria yang ketujuh : Bersederhana tanpa berlebihan atau berkurangan dalam kata-kata, perbuatan dan situasi.


Kriteria yang kelapan : Menyediakan pakar dan membina pelapis pendakwah.

Hidup ini sentiasa berputar, terkadang di atas dan terkadang di bawah. Islam juga sedemikian sunnahya. Mahasiswa Islam perlu bersedia menjadi pakar seterusnya sebagai pelapis pada generasi akan datang. Satu ungkapan yang saya selalu sebutkan dari kata-kata hukama` “. Kita selalu menyebutkan orang sekian-sekian mencipta sejarah, akan tetapi kita lupa untuk mencipta sejarah”. Mahasiswa Islam perlu menguasai sekurang-kurangnya satu bidang yang menjadi kepakarannya.

Kriteria yang kesembilan : Kepentingan kolaborasi antara ilmu quran dan sunnah dengan ilmu waqi`.

Perumpamaan mereka yang ada ilmu tanpa mahir dalam ilmu waqi` ibarat mereka yang mempunyai ubat tapi tidak tahu punca sakit dan sebaliknya. Mahir ilmu waqi` adalah keutamaan dan senjata para pendakwah kini supaya dakwah adalah realiti dan berkesan. Selain itu, perlu cakna dengan sejarah terdahulu dan dikaitkan dengan zaman kini. Sejarah adalah peristiwa yang berulang. Mempelajari sejarah akan meletakkan kita dalam situasi sentiasa sedar dan tidak akan melakukan kesilapan yang sama untuk kali yang kedua.

Kriteria yang kesepuluh : Mengakui kelemahan dan memperbaharui taubat serta memperbanyakkan istighfar.

Kehidupan pendakwah pastinya berhadapan dengan mad`u yang pelbagai ragam dan watak. Sekaligus meletakkan kita pada posisi yang terdedah pada kesilapan dan kesalahan. Sikap pendakwah perlu sentiasa positif dalam sebarang situasi, hatta jika ianya bukanlah salah kita sekalipun. Bukanlah terlalu sukar untuk beristighfar dan memohon ampun. Perlu diingat juga, sentiasa menjauhi maksiat adalah sebagai benteng pendakwah. Tatkala tersasar, segeralah bertaubat dan memohon ampun. Apabila jiwa sentiasa `bersih`, hati kita akan tenang untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Firman Allah ta`ala yang bermaksud :(Ketahuilah dengan "zikrullah" itu hati akan menjadi tenang.) Al Ra`du : 28

Kata Doktor Tal`at Afifi : “ Sesungguhnya maksiat adalah sebagai punca utama kepada menangnya musuh Islam dan larinya pejuang ketika berhadapan dengan musuh”

Penutup

Saya teringat kata-kata Dr Yusuf Qardhawi dalam kitab beliau, apabila beliau menceritakan teori-teori dalam berdakwah dan gerakan, beliau mengingatkan dengan katanya : Teori yang saya tampilkan ini hanyalah pengalaman saya sepanjang komitmen saya dalam medan dakwah dahulu. Tidak semua teori yang saya kemukakan ini sesuai untuk setiap tempat. Apa yang menjadi keutamaan adalah kita menceburkan diri dalam kerja-kerja dakwah dalam lapangan masing-masing.

Semua orang mampu untuk berteori, akan tetapi tidak semua mampu merealisasi teori. Mahasiswa yang sedar pasti akan libatkan diri. Sudah tentu kalam mereka yang berbahasa dengan bahasa pengalaman lebih enak didengar berbanding `kosong bahasanya`. Mana mungkin kita layak bergelar Doktor Ummah sepertimana gelaran yang diberikan kepada Dr Qardhawi jika kita adalah golongan anti sosial.


Salam Sohwah, Salam Dakwah.
Mohd Adlan Mokhtaruddin
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2010.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Thursday, June 24, 2010 0 comments

"Perjuangan tanpa ujian adalah sangat menghairankan - hukama` "

Takziah buat akhi Solih atas kehilangan motosikal kesayangan beliau. Moga ada hikmah atas kehilangan ini. Barangkali ada gantian yang lebih baik yang Allah janjikan untuk anda. Mudah-mudahan terus bersemangat dan sabar.


bakal motosikal akhi Solih? hehe


p/s : Akhi Solih akan menghadapi imtihan pada Isnin ini. Moga beliau najah dan dimudahkan.

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

Setiap hari akan terpampang di dada-dada akhbar Malaysia 4 kejadian berikut
i. Kes rogol dan zina yang kritikal
ii. Kemalangan yang mengakibatkan maut
iii. Kes menggugurkan bayi akibat zina
iv. Kes bunuh dan rompakan

Adakah Malaysia sudah tidak selamat?

KAHERAH, 10 Jun - Menurut laporan yang disiarkan di dalam link Malaysiakini.com, statistik pengidap HIV/ AIDS di Malaysia yang terbaru, seramai 72 peratus adalah di kalangan melayu Islam. Hal ini sangat memalukan negara Malaysia yang berstatuskan negara Islam apabila statistik yang diberikan menunjukkan betapa rosaknya akhlak umat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahkan isu pengidap HIV yang mempunyai kaitan dengan zina bagaikan menjadi santapan harian bagi pembaca surat khabar apabila boleh dikatakan setiap hari pasti adanya berita berkaitan jenayah zina.

Yang terbaru, pada 9 Jun, di Kulim sepasang kekasih ditangkah oleh pihak Jabatan agama di rumah kongsi ketika sedang melakukan kegiatan yang terkutuk tersebut. Apa yang lebih memalukan kedua-dua pasangan tersebut adalah melayu Islam, dan wanita tersebut masih sangat muda iaitu berumur 17 tahun. Malah menurut laporan wanita tersebut baru sahaja mengenali lelaki yang bersama dengannya itu selama 20 hari sahaja.

"Gejala sosial yang melanda di negara kita (Malaysia) sangat membimbangkan. Hal ini boleh dilihat apabila statistik laporan saban tahun semakin meningkat samada dari sudut pengidap HIV, jenayah zina, kes buang bayi, kes bersedudukan bukan mahram, minum arak, judi dan sebagainya. Apa yang lebih memalukan ialah apabila statistik yang diberikan menunjukkan kaum melayu Islam berada di tangga teratas." - ulas Naib Presiden 1, Saudara Adlan Mokhtaruddin.

3 hari yang lepas juga, kita dikejutkan dengan berita yang memalukan apabila 16 gadis di negeri Terengganu dilaporkan melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Selain itu, berita kes buang bayi semakin parah bahkan terdapat laporan akhbar bahawa ada adik beradik kepada penzina sanggup bersubahat di dalam menggugurkan kandungan dan di tanam hidup-hidup.

"Akhlak dan pemikiran umat Islam terutama remaja kian parah. Kes harian yang terpampang di dada akhbar menunjukkan betapa teruknya umat Islam yang hanya semata-mata berstatuskan Islam namun tiada penghayatan yang dilakukan." - tegas Saudara Adlan Mokhtaruddin.Zuhaili.jpg

"Kita selaku mahasiswa Islam di Mesir turut tidak terlepas pandang isu semasa yang berlaku di Malaysia bahkan kita turut menginsafi apa yang telah terjadi. Kita mohon semua pihak samada kerajaan, ibu bapa, pendidik, dan semua pihak agar memandang isu ini perkara yang serius. Dan kita sarankan kepada kerajaan agar memperbanyakkan kegiatan-kegiatan dakwah di dalam memulihkan kembali akhlah umat Islam yang telah barah ini." - saranan beliau ketika ditanya mengenai isu gejala sosial semasa.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman berkata bahawa isu gejala sosial yang berlaku di Malaysia merupakan satu cabaran besar bagi mahasiswa Islam apabila pulang ke tanah air nanti.

"Kita mengharapkan mahasiswa Islam semua peka dan sensitif ke atas setiap kes yang berlaku. Bahkan kita tidak mahu kes-kes yang sama turut berlaku di kalangan kita di Mesir ini. Mahasiswa Islam mesti tahu apa peranan dan tanggungjawab mereka di dalam menangani isu gejala sosial ini." - ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Unit Hisbah dan Unit Biah Solehah di bawah kelolaan Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM sangat penting bagi mencegah gejala sosial yang berlaku di samping menjamin suasana yang baik di kalangan mahasiswa semua.

"Kita berasa dukacika terhadap isu gejala sosial yangb telah berlaku ini. Dan mahasiswa jangan hanya asyik dan leka dengan keselesaan di tempat mereka sekarang tanpa memikirkan masalah umat Islam yang kian parah ini." - tambah beliau lagi.
p/s : Kalau Mahasiswa Islam di bumi Mesir pun turut terjebak, kepada siapa lagi hendak diharapkan?? Bersama memperkasa Hisbah dan Biah Solehah.


Posted by Ibnu Mokhtaruddin Saturday, June 12, 2010 0 comments


KAHERAH, 11 Jun – Tiada pertemuan yang lebih indah iaitu apabila bertemu di atas sebuah nama perjuangan. Semalam, telah berlangsung satu majlis di antara pimpinan PMRAM Pusat di Pejabat PMRAM. Majlis yang dinamakan “Satukan Hati Gerakkan Dakwah” itu berlangsung selepas sahaja maghrib dimulakan dengan majlis berbuka puasa sesama pimpinan PMRAM.

Majlis yang turut dihadiri oleh Penasihat PMRAM dan mantan Badan Pengurus PMRAM memberikan seribu satu makna dalam menggemblengkan lagi kekuatan dalam memacu sebuah gerakan mahasiswa di bumi Mesir.

Majlis tersebut diteruskan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan Qunut Nazilah, dan solat sunat Hajat. Seterusnya, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Saudara Mohd Adlan Mokhtarudin selaku Naib Presiden I yang merupakan Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan PMRAM.

Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan Penasihat PMRAM, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Di dalam ucapan, beliau banyak menerang dan menekankan aspek kesatuan hati di kalangan pimpinan, disiplin tentera Islam, konsep usaha dan tawakkal dalam Islam, meletakkan konsep dosa pahala dalam bekerja, ketentuan Qada’ dan Qadar serta ujian di dalam PMRAM.

“Kekuatan bagi pejuang Islam adalah dengan pertemuan sesama sahabat seperjuangan. Melihat dan memandang rakan seperjuangan yang satu fikrah merupakan satu nikmat yang terbesar. Memalingkan serta menjauhkan diri daripada sahabat-sahabat perjuangan adalah salah satu punca seseorang tersebut boleh lemah dan mudah berputus asa dalam berdakwah.” Ujar Mantan Presiden PMRAM 2009 itu dalam pertemuan semalam.

Dalam pertemuan majlis semalam, Presiden PMRAM Saudara Shahrizan Mohd Hazime turut memberikan ucapan ringkas. Beliau banyak mengingatkan pimpinan tentang kesibukan kerja persatuan yang bakal melanda selepas sahaja peperiksaan  tidak lama lagi.

Di akhir majlis semalam, Saudara Hairul Nizam Mat Hussein yang merupakan Mantan Presiden PMRAM 2007 dan 2008 turut berkongsi pengalaman beliau di dalam PMRAM selama 5 tahun bersama pimpinan PMRAM yang hadir.


p/s : Teringat pesanan Ustaz Rahimuddin, beliau menceritakan perihal Syeikh Sayyid Tantawi Rahimahullah, setiap bulan Al Marhum akan mengadakan pertemuan bersama Syeikhnya iaitu Syeikh Mohamad Ghazali. Dengan bahasa yang digunakan sebagai `mengecas bateri`, Al Marhum Syeikh Tantawi akan berjumpa dengan Tok Gurunya setiap bulan supaya beliau sentiasa bersemangat. Syeikh pun jumpa Tok Gurunya, apatah lagi kita ni. Lebih-lebih lagi kita perlu bertemu sesama kita untuk mengelakkan futur dalam bekerja dan menyatukan hati-hati kita.

Ya Allah, peliharalah kesatuan kami dan kesatuan umat Islam, jauhkanlah kami dari berpecah belah. Moga ukhuwah kami kekal hingga ke akhir hayat.

Selingan :
"Ustaz Juzaili baru disatukan hatinya dengan pasangan beliau. Begitu juga dengan Ustaz Rasul. Barakallah lakuma wa baraka `alaikuma.." Ustaz Syafiq bila lagi ya?

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

    
Rumah Johor Rab`ah kembali melakar sejarah apabila kali ini didatangi oleh para Qurra` dari Ma`had Qiraat Shoubra. PMRAM Cawangan Shoubra telah menganjurkan Haflah Takrim Qurra` bagi menghargai jasa para `guru` mereka di Ma`had.

     Diberitakan seramai sepuluh orang Qurra` yang menjadi tenaga pengajar di Ma`had Qiraat Shoubra hadir memeriahkan Majlis. Di samping itu, saudara Shahrizan Mohd Hazime selaku Presiden PMRAM turut dijemput berada sebaris bersama para Qurra` dihadapan. Turut memeriahkan majlis ialah mahasiswi Qiraat dari Mansurah yang datang menaiki 4 buah tramco.

     Sepertimana yang kita ketahui, pada tahun lalu dewan ini dibanjiri oleh pelajar Malaysia dalam Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran PMRAM Pusat. Lebih mengharukan lagi, para Masyaikh sanggup berpenat lelah menaiki tangga setinggi 6 tingkat demi menjayakan Majlis tersebut. Pastinya tanggal 17-20 Oktober 2009 tidak pernah hilang dari memori saya.

    Tahniah buat PMRAM Cawangan Shoubra di atas kejayaan Majlis kali ini buat julung-julung kalinya. Tidak dilupakan buat para ad hoc pelaksana yang bertungkus lumus menjayakannya. Mudah-mudahan doa para Masyaikh sentiasa bersama kalian.

  
         Presiden menyampaikan cenderahati kepada wakil Ma`had Shoubra(atas)                    Bersama Qari dari Johor..hehe

(BP Mujahid berbakat mengendali Majlis)

  Buat `Rumah` Johor Rab`ah, moga kalian tidak pernah jemu menerima Majlis seumpama ini. Terima kasih atas kesudian membantu anak-anak PMRAM Cawangan Shoubra. Moga sikap ta`awun ini dipraktikkan secara terus oleh kita bersama.

(Suasana dalam Dewan )
Terkenang....
p/s : Dah nampak siapa bakal Pengarah Kutub Sittah siri II. hehe

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Friday, June 4, 2010 0 comments


" Tangan di atas lebih mulia dari tangan dibawah "

KAHERAH, 2 Jun – Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, begitulah suatu ungkapan yang dialami oleh sepasang suami isteri yang baru sahaja menerima kehadiran seorang cahaya mata lelaki.

Dalam keadaan si ayah dan si ibu ingin menimang si cahaya mata dalam keadaan kegembiraan, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita bahawa bayi lelaki itu mempunyai masalah simptom komplikasi jantung yang memerlukan pembedahan yang cepat dan intensif.

Muhammad Maazin Mufti, yang lahir pada 4 April lalu akan dibedah di Arab Saudi dan anggaran kos pembiayaan sebanyak LE 50,000. Bayi tersebut merupakan anak kepada Saudara Ahmad Mufti Hamdani, ahli Persatuan Pelajar Mahasiswa Indonesia (PPMI) yang merupakan lepasan Master di Sudan Pengkhususan Hadis.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di bawah Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan menyeru kepada seluruh ahli PMRAM di bumi Mesir ini agar dapat membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh pasangan suami isteri itu.

“Sebagai persatuan induk yang menaungi 20 PMRAM Cawangan di bumi Mesir ini, PMRAM menyeru kepada seluruh ahli untuk menggemblengkan kebajikan bagi membantu saudara seaqidah kita bagi mengurangkan beban yang di alami oleh beliau, mudah-mudahan dengan bantuan yang di hulurkan akan membantu kita di akhirat sana nanti, insya-Allah”, ujar Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan Mat Zin.

Beliau berharap dengan bantuan yang dihulurkan oleh seluruh mahasiswa di bumi Mesir ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban yang di alami oleh pasangan suami isteri tersebut.

Beliau yang ditemui selepas pertemuan dengan Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime dan Presiden PPMI Saudara Muhammad Taufik Muhammad Akhyar Rifki di Pejabat PMRAM semalam.

p/s : Moga Allah berikan ketabahan hati buat mereka sekeluarga...

Posted by Ibnu Mokhtaruddin Wednesday, June 2, 2010 0 comments


Siri II

Antara Kesedaran dan Gerakan

Dalam gerakan dakwah, terdapat dua istilah yang perlu difahami. Iaitu kesedaran (assohwah) dan gerakan (harakah) itu sendiri. Dalam kitab “Aulawiyat Al Harakah Al Islamiyah fi Marhalah Qadimah” oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi, beliau menyebutkan dalam muqaddimah kitabnya, gerakan disebut sebagai sebuah kumpulan yang tersusun, mempunyai tujuan dan matlamat tertentu, dan manhaj yang tersusun rapi. Manakala assohwah bermaksud kecenderungan umum yang terpancar, merangkumi individu dan kumpulan samada yang tersusun ataupun tidak.

Perkaitan antara keduanya sebagaimana disebutkan oleh ulamak Mantiq adalah 'umum wa khusus mutlak'. ( Semua harakah adalah sohwah, akan tetapi bukan semua sohwah adalah harakah). Sohwah adalah lebih umum daripada gerakan.

Secara logiknya, munculnya sesuatu pergerakan adalah timbul daripada kesedaran. Tertubuhnya PMRAM, pastinya dengan kesedaran mahasiswa pada waktu tersebut akan kepentingan untuk bersatu dan menabur bakti. Begitu juga dengan gerakan-gerakan yang lain. Bertitik tolak dari situlah ianya akan mempengaruhi pihak lain seterusnya mampu membentuk perkumpulan dan mengatur gerakan.

Tuntutan buat penggerak - penggerak Islam.

Realiti pada hari ini memperlihatkan kerja-kerja dakwah perlu dipertingkatkan dan sentiasa dikemaskini. Ini disebabkan umat Islam yang semakin lemah dan musuh-musuh Islam semakin mengganas. Ditambah pula dengan neraca timbangan umat pada masa kini yang semakin rapuh. Umat Islam sudah tidak pandai menilai dan menimbang keutamaan gerak kerja mereka. Isu picisan adalah pilihan kebanyakan kita.

Disebutkan oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi di dalam muqaddimah kitab Feqh Prioriti, “didapati timbangan prioriti umat pada zaman ini telah rapuh di dalam bidang yang pelbagai samada pemikiran, kemasyarakatan, ekonomi mahupun politik.

Kenyataan ini jelas menggambarkan kepada kita, apabila mereka yang berada di posisi penting setiap bidang gagal memahami keutamaan gerak kerja mereka, maka jelaslah rapuhnya timbangan mereka ke atas lima feqh yang utama.

Apabila disebutkan dengan pergerakan Islam, Doktor Yusuf Al Qardhawi mentakrifkannya sebagaimana berikut : Iaitu `Amal ( bekerja ) gabungan perkumpulan rakyat yang tersusun untuk mengembalikan Islam dimata masyarakat sebagai satu cara hidup.

Kata kunci bagi pergerakan Islam ialah `AMAL iaitu BEKERJA, kerja yang sedikit dan berterusan. Bukan hanya tertumpu pada ceramah, tazkirah, khutbah, penulisan dan risalah. Tanpa menafikan ianya adalah sebahagian daripada gerakan dakwah, akan tetapi ianya bukanlah harakah. Firman Allah ta`ala yang bermaksud:

Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".- at taubah :105-

Dakwah Islam perlu digerakkan seluruhnya. Tidak hanya tertumpu pada satu bidang dan mengabaikan bidang yang lain. Setiap bidang perlu diberikan hak yang secukupnya dan berperanan membantu dakwah dari sudut masing - masing. Jika semua ingin menjadi ketua siapa pula yang akan menjadi ahli. Ulamak ada peranannya yang tersendiri, pemimpin dengan gaya tersendiri, bgitu juga golongan pemikir dan juga aktivis Islam. Jika cacat salah satu, maka akan cacat gerakan dakwah.

Dalam konteks kita sebagai mahasiswa Islam, keempat-empat golongan tadi perlu diterapkan dalam konteks sebuah persatuan. Persatuan adalah sebagai medan dan alam mahasiswa adalah lapangannya. Ada pihak yang mengatakan alam mahasiswa hanya sebagai medan latihan, tak kurang juga yang mengatakan ia sebagai medan realiti dalam mengharungi alam mahasiswa kerana Mahasiswa adalah pemimpin pada masa akan datang. Boleh dikatakan, alam mahasiswa penentu halatuju kita di masa hadapan.

Tuntutan kita kini adalah BEKERJA untuk membantu Islam. Bukan banyak bercakap kosong. Realiti bekerja tidak sama dengan fantasi berfikir. Apabila anda terjun ke medan, pasti akan tahu langit tinggi atau rendah.

Kesabaran umat Islam hari demi hari makin dicabar. Jika kita masih lagi tidak sedar dan bangkit, mungkinkah tidak ada iman dihati kita? Isu Palestin tidak pernah reda, begitu juga isu ditempat-tempat yang lain. Malahan lebih malang lagi, jika isu yang berlaku ditempat sendiri tidak diendahkan.

Mudah-mudahan, peperiksaan di Al Azhar tidak menghalang kerja-kerja dakwah diteruskan.

Selamat Bekerja untuk Islam.

p/s : Sebarang teguran dialu-alukan.
Ya Allah, selamatkanlah Palestin dan Gaza..

Posted by Ibnu Mokhtaruddin 0 comments

Subscribe here

MASA KITA

About Me

My photo
Nama diberi Mohd Adlan Mokhtaruddin, Dilahirkan pada 9 April 1986.Berasal dari Wilayah Kuala Lumpur dan menetap di Lot 4201 Kg Baru Sg Buloh Selangor.Merupakan anak ke sepuluh dari 12 orang adik-beradik. Pengajian kini di Jabatan Hadith Fakulti Usuluddin Kaherah Mesir.

BERSAMA MENJAYAKANNYA!!

SUMBER INSPIRASI

SUMBER INSPIRASI

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KEKAL '10--80 TAHUN PMRAM

KENANGAN TERMANIS

KENANGAN TERMANIS