Pelaksanaan Hisbah di dalam tradisi Islam bermula sejak dari zaman Rasulullah lagi. Baginda telah melantik pegawai-pegawai untuk mengawasi perjalanan pasar dan urusan perdagangan. Mereka ini digelar ‘Penyelia Pasar’ (Sahib as-Suq) atau ‘Petugas di Pasar’ (al-Amil fil-Suq)[1]. Bidang tugas mereka pada masa itu bertumpu kepada memastikan tidak berlaku penindasan atau penipuan dan semua pihak patuh kepada sistem timbangan dan sukatan atau dengan erti kata lain menjamin berlaku keadilan di dalam urusniaga.
Amalan ini diambil serius oleh para Khalifah ar-Rasyidin seterusnya. Adalah diriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab dan Ali ibn Abi Talib sendiri pernah menjalankan tugas mengawasi perjalanan pasar ini. Menjelang akhir pemerintahan Umayyah, gelaran petugas ini bertukar kepada Muhtasib.
Pelaksanaan sistem ini berterusan sepanjang pemerintahan Islam. Terdapat pelbagai penulisan yang membicarakan prinsip dan pelaksanaan sistem Hisbah samada yang membicarakan Hisbah secara khusus seperti Al-Hisbah fil-Islam oleh Ibn Taimiyah atau karya-karya mengenai fiqh dan pemikiran politik Islam yang membicarakan soal Hisbah di dalamnya seperti Ahkam al-Sultaniyah oleh al-Mawardi dan Ihya Ulum ad-Din oleh Imam al-Ghazali.
Malah karya-karya umum yang membicarakan Islam secara menyeluruh juga seringkali memuatkan topik Hisbah di dalamnya. Terdapat juga karya yang merupakan manual atau panduan secara praktis di dalam melaksanakan Hisbah. Salah satu karya berbentuk manual kerja sebegini yang dianggap terhebat ialah Nihayat at-Rutbah fi Talab al-Hisbah oleh as-Syaizari yang ditulis sebagai panduan untuk Sultan Salahuddin al-Ayubi.
Kewujudan berpuluh-puluh atau mungkin ratusan karya ini adalah cerminan betapa topik Hisbah diberikan perhatian khusus dan penting. Malah pengamatan terhadap karya-karya ini memberikan gambaran jelas bagaimana pemerintah-pemerintah Islam melaksanakan Hisbah dengan serius.